Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW
×

Search For:

Generic selectors
Exact matches only
Search in title
Search in content
Post Type Selectors

MYNIC Sediakan Platform Untuk Rakyat Jana Pendapatan Sampingan

Hulu Terengganu, 24 Mac 2018 – Program KREATIFMARKET.MY adalah inisiatif MYNIC dan disokong oleh Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) merupakan platform pertama di Malaysia yang mengkomersialkan hasil karya seni fotografi tempatan secara dalam talian (online) berdasarkan konsep “crowdsourcing” di samping memberi peluang kepada komuniti untuk menjana pendapatan sampingan secara berterusan setanding platform – platform antarabangsa yang lain seperti Shutterstock, Getty Images, 123rf dan banyak lagi.

Majlis Perasmian Platform KREATIFMARKET.MY telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Jailani Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Dewan Ajil, Pekan Ajil, Hulu Terengganu. Turut hadir sama YBhg. Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC dan beberapa tetamu kehormat yang lain.

Program KREATIFMARKET.MY ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia untuk menyumbangkan hasil karya kreativiti foto masing – masing. Penyumbang tidak memerlukan kemahiran fotografi yang tinggi, untuk melayakkan hasil kreativiti mereka diterima. Keunikan platform KREATIFMARKET.MY ini adalah memberikan keutamaan pada hasil karya yang mempunyai ciri – ciri tempatan (local content) selain dapat membuka peluang kepada rakyat Malaysia utnuk menjana pendapatan sampingan yang berterusan.

“Seiring dengan Teras KKMM yang memberi fokus kepada pemerkasaan industri kreatif dan menggerak ekonomi digital negara, Program KREATIFMARKET.MY dilihat dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia melalui pembangunan kemahiran yang boleh dijadikan aset untuk menjana pendapatan secara digital” jelas YB Dato’ Sri Jailani Johari.

Para penyumbang mampu memperoleh insentif sehingga RM 600 bagi setiap karya yang dimuat naik manakala bagi setiap karya yang dijual melalui platform KREATIFMARKET.MY, setiap penyumbang mampu untuk menjana pendapatan pasif yang berterusan lebih RM 5,000.

“Setakat ini, KREATIFMARKET.MY telah menerima sumbangan sebanyak 11,000 hasil fotografi di mana lebih daripada 2,500 gambar yang dimuat naik tersebut telah diluluskan mengikut kriteria kreatif yang telah ditetapkan. Melalui sumbangan tersebut, lebih RM 9,000 insentif telah dibuat kepada pihak penyumbang yang berdaftar” jelas Datuk Hasnul, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC.

Selain itu, pihak MYNIC turut menyediakan peluang untuk orang ramai mendalami lebih lanjut mengenai kemahiran fotografi yang boleh memberi peluang untuk mereka menjana pendapatan secara dalam talian melalui Program Latihan KREATIFMARKET.MY. Program latihan tersebut melibatkan modul dan aktiviti yang menarik serta interaktif seperti perkongsian tips – tips asas fotografi, latihan keusahawanan digital dan sebagainya.

Tambah Datuk Hasnul, “Melalui program latihan ini, MYNIC secara tidak langsung telah membentuk generasi cakna digital yang boleh menyesuaikan pelbagai bidang kemahiran terutamanya fotografi untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan pasif berterusan melalui keusahawanan dalam talian”

Program Latihan KREATIFMARKET.MY tidak hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja. MYNIC telah mengatur lebih dari 15 buah siri program latihan tersebut di seluruh negara termasuk Johor, Perak, Sabah, Kedah dan lain – lain negeri bagi tahun 2018.

Program Latihan KREATIFMARKET.MY telah bermula pada penghujung tahun 2016 dan sehingga kini telah berjaya melatih seramai 2,000 peserta, manakala bagi tahun 2018 pula sasaran sejumlah 3,000 peserta dijangka akan memperoleh manfaat daripada program tersebut.

Pada majlis yang sama MYNIC turut membuat penyerahan sumbangan barangan keperluan kepada 100 orang ibu-ibu tunggal yang bernilai RM5,000.

Sebagai salah satu agensi di bawah KKMM, MYNIC sentiasa bekerjasama dalam memastikan segala inisiatif yang dijalankan adalah bertepatan dengan saranan pihak kerajaan dalam mengutamakan pembangunan rakyat melalui infrastruktur ICT dan ekonomi digital.

You may also be interested in: