Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW
×

Search For:

Generic selectors
Exact matches only
Search in title
Search in content
Post Type Selectors

Terokai Masa Depan Ekonomi Digital Melalui MYNIC Tech Summit 2019 “Resiliency in ICT Revolution”

KUALA LUMPUR, 24 Januari 2019 – Perkembangan dan kecanggihan teknologi terkini seperti blockchain, keselamatan siber, identiti digital dan cap dagangan, yang bergerak sangat pantas akan berterusan mengubah gaya hidup seseorang. Sama ada ia mampu memberikan kesan baik atau sebaliknya , landskap perniagaan perlu mengambil peluang dengan lebih kreatif untuk memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan dan memaksimumkan revolusi digital untuk tujuan menghasilkan keuntungan kepada perniagaan dan sekaligus menyumbang kepada peningkatan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan dinamik dunia digital, untuk julung kalinya, MYNIC memperkenalkan persidangan MYNIC TECH Summit 2019 (MYTS2019) bagi memberi peluang kepada industri dan individu-individu yang terlibat memahami bagaimana “teknologi yang mengganggu” (disruptive technologies) dapat memberi kesan positif kepada kehidupan, perniagaan dan negara seterusnya bersedia untuk menjadi pemain utama di dalam ekonomi digital di peringkat global.

Program ini merupakan inisiatif MYNIC yang turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Objektif program ini adalah bertujuan untuk menyediakan platform kepada para peserta berkongsi idea dan pengalaman dalam membentuk masa depan industri ICT dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteraskan ekonomi digital.

MYTS2019 dirasmikan oleh Ybrs. Tuan Tan Chuan Ou, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM yang membacakan teks ucapan YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri KKMM. MYTS2019 menawarkan tempat sebanyak 500 penyertaan bagi program tersebut. Acara majlis perasmian turut dihadiri oleh Ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKMM, Pengerusi dan Lembaga Pengarah MYNIC.

Acara yang berlangsung selama satu (1) hari ini menghimpunkan golongan profesional dan mereka yang aktif di dalam bidang ICT, bertujuan untuk mengenalpasti trend terkini serta mempelajari daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam pembangunan ICT di rantau ini. Acara ini merupakan platform bagi wakil-wakil Kerajaan dan mereka yang aktif di dalam industri untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, serta meluaskan jaringan kerja dan meneroka peluang perniagaan.

“Memandangkan ini adalah julung kalinya MYNIC mengadakan program yang berteraskan teknologi, kami amat berbesar hati dengan sokongan para penceramah dan peserta, bersama-sama dengan kami mendalami dan menguasai pelbagai aspek berkaitan teknologi dan bagaimana ia mampu merevolusikan ekonomi digital. Program ini akan memberikan para peserta cetusan idea baru yang bermutu dan bernas, bagi merancang dan membina organisasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Dengan adanya Dr Mohamed Awang Lah sebagai Pengerusi MYNIC yang saya anggap sebagai bapa Internet Malaysia, saya berpendapat beliau adalah seorang yang mempunyai visi ketika membangunkan rangkaian Internet yang pertama di negara yang kini telah berkembang pesat di Malaysia, justeru kita amat berterima kasih kepada usaha Dr Mohamed dan individu lain yang terlibat pada ketika itu,” kata Datuk Hasnul Fadhly, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC.

Selari dengan tema program “Resiliency in ICT Revolution”, acara ini mengetengahkan 7 sesi di antaranya ialah ‘Attack and Defense Strategies: How DEALS Helps Your Business Landscape Globally’, ‘How Choosing the Right Domain and Using Anycast Help SEO Rankings and Your Business’, ‘Trademark Protection in the Digital Environment’, ‘Digital Identity: Foundation for The Future’ dan sesi perbincangan bersama ahli-ahli panel mengenai topik ‘Digital Identity: Between Risk and Opportunity. Barisan penceramah yang terlibat terdiri daripada wakil-wakil dan agensi Kerajaan serta wakil-wakil korporat dan pakar-pakar industri untuk memastikan keseluruhan aspek revolusi ICT dikongsi bersama pada program ini.

Program ini turut menampilkan Azran Osman-Rani, Disruptive Innovator, dan Jonathan Yabut, pemenang Apprentice Asia yang pertama sebagai penceramah dalam MYTS 2019 yang berlangsung di Hotel Aloft, KL Sentral. Mereka dilihat sebagai ikon yang dapat memberi inspirasi serta mampu menjadi tarikan utama peserta program.

“ICT merupakan teknologi yang mampu mengubah ke arah transformasi dan membina masyarakat yang lebih berdaya tahan dan mampan selain mempunyai potensi dalam meningkatkan pembangunan sosial dan ekonomi serta perlindungan persekitaran. Keselamatan siber, cap dagangan dan identiti digital merupakan teknologi yang bergerak dengan pesat berbanding sebelumnya, dan ia mengubah cara hidup, kerja dan pergerakan kita. Sama ada kita bersedia atau tidak untuk melalui transformasi digital, teknologi telah menjadi sebahagian daripada hidup kita” ujar YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri KKMM.

Tambah Datuk Hasnul, “Sebagai sebuah agensi di bawah KKMM dan dikawal selia oleh SKMM, kami menyokong sepenuhnya aspirasi dan usaha yang menyeluruh oleh Kerajaan yang diyakini akan memberikan impak positif kepada negara. Sebagai salah satu agensi Kerajaan, kami komited untuk membantu memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat melalui ekonomi digital dan mengembangkannya sehingga ke peringkat global dengan memastikan domain .MY sebagai pilihan bagi identiti mereka “.

MYNIC sentiasa berusaha bagi memperkasakan perniagaan dan industri sebagai sebahagian daripada ekonomi digital melalui pembangunan industri nama domain yang merupakan salah satu infrastruktur ICT di Malaysia.

You may also be interested in: