Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW

MYNIC Meterai Memorandum of Agreement (MOA) Kerjasama Bersama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) Bagi Menyokong Inisiatif Digital Negara

CYBERJAYA, Selangor, 7 Oktober 2020 – Seiring dengan kejayaan MYNIC melatih lebih 1,000 usahawan melalui Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital pada tahun 2019 & 2020, MYNIC mengambil langkah untuk meneruskan dan memberi peluang kepada golongan usahawan di Malaysia terutamanya usahawan-usahawan kecil dalam mentransformasikan perniagaan mereka ke perniagaan berasaskan digital.

Bagi merealisasikan usaha ini, satu kerjasama dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bakal dilaksanakan dalam membantu golongan usahawan kecil di Sarawak untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran dalam talian. Kerjasama ini merupakan inisiatif yang pertama bersama dengan Kerajaan Negeri di Malaysia dan MYNIC akan terus melangkah jauh dengan menjalinkan lebih banyak lagi kerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri yang lain dalam membawa golongan usahawan mengadaptasi peluang-peluang digital.

Melalui kerjasama ini, Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital MYNIC menyasarkan 1,000 usahawan-usahawan kecil dan sederhana di negeri Sarawak yang memberi tumpuan kepada golongan pinggir dan luar bandar khususnya golongan B40. Inisiatif ini adalah selari dengan perubahan landskap perniagaan global yang menjurus ke arah peralihan kepada ekonomi digital dan sekaligus menyokong usaha kerajaan bagi memacu kedudukan Malaysia sebagai Pusat Digital ASEAN.

Program latihan sebegini memberi peluang kepada usahawan kecil untuk bersedia dalam mengharungi masa depan digital dan merupakan satu usaha bagi mendekati dan memastikan tiada sesiapapun terpinggir daripada menerima adaptasi teknologi terkini.

“MYNIC berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan SDEC dan akan memberikan komitmen yang tinggi dalam perkongsian ilmu perniagaan dalam talian serta menyediakan sokongan teknologi lengkap seperti kepada para pengguna nama domain .MY agar mereka sentiasa bersedia mengharungi cabaran global dalam ekonomi digital”, kata YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC

Tambah YBhg. Datuk Ts. Hasnul, “Selain menyediakan modul latihan seperti membangunkan laman web, pemasaran melalui media sosial dan penambahbaikan kandungan dalam memasarkan perniagaan, MYNIC turut menjalankan pemantauan berkala bagi mendapatkan perkembangan serta kefahaman para peserta yang terlibat”.

Program latihan ini tidak dijalankan secara one-off tetapi ia juga melibatkan pemantauan berkala sehingga tiga (3) bulan. Ini adalah bertujuan untuk memantau perkembangan dan memastikan kefahaman para peserta program latihan ini terutamanya dari segi pembangunan laman web perniagaan mereka, keberkesanan pemasaran digital dan pelaksanaan strategi media sosial.

Selain itu MYNIC akan turut akan bekerjasama dengan pihak universiti tempatan seperti Open University Malaysia (OUM) dan institut-institut pengajian tinggi yang lain bagi memastikan penyertaan golongan muda dalam bidang keusahawanan dalam talian pada masa akan datang.

Kerjasama ini juga, akan menyaksikan perkongsian pengetahuan di antara kedua-dua pihak, dalam menyediakan strategi dan sokongan teknologi digital perniagaan dalam talian.

Selain MYNIC, SDEC turut memeterai perjanjian persefahaman hari ini bersama rakan-rakan  strategik yang lain seperti HUAWEI Technologies (Malaysia) Sdn Bhd , XPeranti Solutions (M) Sdn Bhd, Merdeka Waterfront Hotel Sdn Bhd And Arx Media Sdn Bhd. serta banyak lagi.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MYNIC memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital dengan memastikan penggunaan nama domain .MY menjadi pemboleh ubah terpenting di dalam ekosistem ekonomi digital.  

MYNIC juga akan berusaha untuk membolehkan dan memperkasakan perniagaan dan industri untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital menerusi pembangunan industri nama domain sebagai sebahagian daripada infrastruktur ICT di Malaysia.

TAMAT

You may also be interested in:

×

Search For: