Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW
×

Search For:

Generic selectors
Exact matches only
Search in title
Search in content
Post Type Selectors

MYNIC Teruskan Sumbangan Kepada 210 Keluarga Asnaf Melalui Program #MYNICCARESxYAYASANPAHANG 2020

Kuantan, PAHANG DARUL MAKMUR, 13 Jun 2020 – Bagi meneruskan tradisi tahunan, MYNIC telah turun padang bagi menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dikenali juga sebagai MYNICCARES dengan menyerahkan sumbangan kepada 210 keluarga meliputi 21 kampung di sekitar Kuantan, Pahang yang terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan.

MYNIC telah bekerjasama dengan Yayasan Pahang dalam memastikan program CSR ini berjaya direalisasikan dan sekaligus dapat membantu keluarga tersebut mengurangkan bebanan kos harian mereka terutamanya ketika fasa pemulihan wabak pandemik COVID-19.

Sebagai sebuah agensi Kerajaan yang prihatin, MYNIC telah menyerahkan sejumlah RM31,500 kepada Yayasan Pahang di majlis Ceria Raya Bersama #MYNICCARESxYAYASANPAHANG 2020 yang dijalankan pada hari ini. 

Majlis turut dihadiri YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, YBrs. Khairul Anuwar Abu Bakar, wakil kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang dan pengurusan tertinggi MYNIC.

“Penularan wabak Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan manusia, malah ia turut memberi kesan kepada sektor ekonomi dan pendapatan individu dan isi rumah. Justeru itu, penganjuran program CSR sebegini ini bukan sahaja memberikan bantuan malah kegembiraan kepada golongan yang memerlukan.

Melalui sumbangan ini, sedikit sebanyak ia mampu mengurangkan bebanan keluarga asnaf dalam meneruskan kehidupan seharian dan menunjukkan bahawa badan korporat serta agensi Kerajaan sentiasa prihatin dengan kesusahan yang dialami mereka.” kata YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC.

Selain itu, melalui inisiatif CSR ini juga dapat memperlihatkan usaha Kerajaan yang berterusan  dalam menekankan kepentingan penglibatan digital pada masa kini kepada semua peringkat tanpa mengira latar belakang ataupun kedudukan sosio ekonomi.  MYNIC turut mengambil peluang ini bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang platform yang boleh disertai di program dan bengkel keusahawanan digital yang dianjurkan pada tahun 2020. Program keusahawanan ini merupakan sebahagian daripada usaha MYNIC untuk membawa usahawan luar bandar yang berada di luar talian ke dalam talian (offline-to-online) sebagai menyokong adaptasi digital, seterusnya mempersiapkan diri untuk bersaing di pasaran ekonomi digital peringkat global.

Tambah Datuk Ts. Hasnul, “MYNIC akan terus menjayakan serta melaksanakan Program ‘Corporate Social Responsibility’ yang holistik dan sekaligus dapat membantu pembentukan pembangunan modal insan demi kesejahteraan komuniti. Penghargaan dan pujian juga harus di berikan kepada pihak Yayasan Pahang yang menyambut baik usaha ini dengan menjalinkan kerjasama dengan MYNIC bagi merealisasikan program pada hari ini”.

Dengan penganjuran program sebegini, ia menunjukkan yang MYNIC tidak hanya memfokuskan kepada hal-hal pentadbiran dan operasi semata-mata sebaliknya syarikat turut menitikberatkan perkara yang berkaitan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Pelbagai inisiatif CSR telah dan akan dilaksanakan oleh MYNIC untuk dinikmati oleh masyarakat di luar sana, di mana untuk strategi jangka panjang ianya akan memberi manfaat kepada sosio ekonomi negara secara keseluruhannya. MYNIC berharap dengan program tanggungjawab sosial korporat serta penyerahan sumbangan ini, ianya dapat membantu golongan yang memerlukan serta membantu meringkan beban warga Asnaf ini

#MYNICCARES telah diperkenalkan pada 2019 dengan tujuan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik serta yang memerlukan. Sebagai sebuah agensi dibawah KKMM, MYNIC sentiasa mengambil peluang untuk membantu masyarakat bukan sahaja melalui perkhidmatan yang ditawarkan namun turut membantu dalam program berbentuk kemanusiaan. Program ini bertujuan untuk memupuk budaya dan semangat sukarelawan serta menggalakkan aktiviti yang berkaitan dengan kerja-kerja amal.

Sebagai sebuah agensi dibawah KKMM, MYNIC yang merupakan pentadbir domain .MY sentiasa mengambil peluang untuk membantu masyarakat bukan sahaja melalui perkhidmatan yang ditawarkan namun turut membantu dalam program berbentuk kemanusiaan.

-TAMAT-

You may also be interested in: