Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW

Premis Digital Bantu Usahawan Agro Kembangkan Perniagaan

Laman web bertindak sebagai salah satu aset penjenamaan perniagaan 

CYBERJAYA: Dimensi perniagaan berasaskan agro makin progresif, di mana permintaan terhadap produk agro  tanah air semakin mendapat sambutan  dari dalam dan juga luar negara. Revolusi teknologi dan digitalisasi semakin pantas berkembang lantas telah mengubah lanskap pembangunan sektor pertanian bagi meningkatkan kecekapan dan hasil sektor ini.

Kerajaan, melalui Belanjawan Madani 2023 minggu lepas juga telah memperuntukkan dana serta pelbagai inisiatif untuk pemerkasaan pendigitalan perniagaan tahun ini.

Mula beradaptasi dengan teknologi, kini lebih ramai usahawan agro  tampil berani menceburi bidang pendigitalan bagi meningkatkan hasil dan produktiviti perniagaan agro mereka. Senario positif ini adalah untuk memenuhi keperluan serta permintaan menerusi platform e-dagang yang semakin mendapat perhatian orang ramai.

Salah seorang ushaawan agro, Zanariah Abdullah yang merupakan pengasas produk sambal dan pes Cik Midah memulakan perniagaan beliau pada tahun 2017 melalui jualan secara langsung kepada pelanggan sasar.

“Saya mula menjual sambal Cik Midah kepada keluarga dan juga kenalan rapat. Kemudian pada tahun 2018, saya mendapat peluang untuk meletakkan produk ini di beberapa stesen minyak di sekitar Damansara.”

“Ketika itu saya juga mula menjual produk ini di saluran media sosial, dan al hamdulillah sambutan amat mengalakkan. Setelah beberapa bulan mengadakan jualan melalui saluran sosial media, saya mula terfikir untuk membangunkan premis digital atau laman web Sambal Cik Midah,” ujar Zanariah.

Sebagai seorang usahawan agro, Zanariah juga aktif mengikuti pameran serta ekspo perniagaan yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Selepas beberapa kali mengikuti aktiviti anjuran FAMA, saya telah ditawarkan oleh FAMA untuk menyertai kursus perniagaan digital. Antara yang dipelajari termasuklah ekosistem e-dagang, yang merangkumi media sosial, E-market place, enjin carian dan premis digital.”

“Saya bersyukur kerana saya terpilih untuk mengikuti program insentif pembangunan laman web daripada MYNIC Berhad. Menerusi program ini, ianya banyak mengajar saya serta usahawan agro lain mempelajari cara membina laman web serta cara mempromosi produk kami secara digital.”

“Membangunkan laman web atau premis digital produk sendiri merupakan impian saya kerana ianya adalah salah satu platform untuk produk kami menembusi pasaran tanpa sempadan. Saya amat tertarik dengan petikan daripada Bill Gate yang mengatakan jika perniagaan anda tiada laman web, umpama kita tiada kedai di alam maya,” kata Zanariah lagi.

“Selepas hampir 2 tahun setahun mempunyai premis digital sendiri iaitu goldburoqglobal.my, hasil jualan sambal Cik Midah kini mencecah 60% jika dibandingkan dengan dahulu,” akhiri beliau.

Sementara itu, seorang lagi Muhammad Khalifah Hussin dari Pasir Puteh, Kelantan juga turut berkongsi bagaimana premis digital membantu usahawan agro seperti beliau.

“Saya mula menjual ikan bekok sejuk beku semenjak pertengahan tahun 2021. Bermodalkan RM25 ketika itu, saya mula menjalankan beberapa kajian sendiri terhadap resipi keenakan dan kelainan ikan bekok ini,” kata Khalifah.

“Saya amat percaya penjenamaan amat penting dalam sesuatu perniagaan dan sentiasa mencari peluang untuk mengukuhkan jenama ikan bekok saya ini. Awalnya saya banyak menggunakan saluran sosial media seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.”

“Selepas menyertai program Latihan Keusahawanan Digital anjuran MYNIC dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Ogos 2022 saya mula didedahkan kepada kepentingan laman web kepada penjenamaan perniagaan,” katanya lagi

Khalifah mengatakan bahawa membina laman web merupakan salah satu agenda dalam perancangan awal perniagaan beliau.  Mengkomersialkan ikan bekok melalui premis digital oceanfreshglobal.my juga membantu dalam membina keyakinan pembeli.

“Sekarang banyak kita dengar mengenai penipuan dalam talian, tetapi dengan adanya laman web sendiri ianya menambah keyakinan pembeli.  Alhamdulillah, saya kini menerima tempahan lebih 20 pek dalam masa seminggu,” tambah Khalifah.

Kerjasama MYNIC tingkat pengetahuan premis digital

Sehingga kini, MYNIC dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta agensi-agensi  dibawahnya telah melatih hampir 100 usahawan agro. Program Realisasi Impian Digital (PRIME) meruapakan salah satu usaha untuk meningkatkan pemahaman serta penyertaan mereka ke saluran digital.

YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pengawai Eksekutif MYNIC Berhad berkata sektor agro merupakan salah satu tunjang kepada negara dan ianya turut menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana.

“MYNIC telah berkerjasama dengan MAFS serta agensi-agensi di bawahnya seperti FAMA, LPP, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).”

“Objektif PRIME adalah untuk memberi pendedahan terhadap penambahbaikan teknologi digital serta impak kepada penjenamaan digital produk ahli-ahli mereka. Kami juga turut berkongsi bagaimana pemasaran melalui premis digital dapat meningkatkan hasil jualan dan keyakinan pelanggan kepada produk agro mereka.”

“Produk hasil usahawan kami kini semakin dikenali, bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. Antara contoh adalah sambal Cik Midah yang berjaya mendapat pelanggan dari United Kingdom, Singapura dan lain-lain lagi. Ini lah kelebihan premis digital, perniagaan tanpa batasan,” ujar Datuk Ts. Hasnul.

“Umum perlu tahu bahawa nama domain .MY mempunyai kadar penyalahgunaan yang rendah iaitu

hanya sebanyak 2% berbanding ‘generic Top Level Domain (gTLD)’ yang lain. Ini sekaligus menunjukkan bahawa tahap kepercayaan serta jaminan keselamatan terhadap perniagaan yang menggunakan nama domain .MY diakui,” tambah beliau.

Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, MYNIC yang bertanggungjawab membangun serta mengurus nama domain .MY turut memwujudkan Komuniti .MY sebagai satu platform bagi mengukuhkan lagi hubungan jangka panjang antara peserta latihan MYNIC. Selain menjadi medium interaksi antara satu sama lain, usahawan juga akan diberikan pendedahan kepada cara untuk meluaskan pasaran dan menaiktaraf perniagaan.

“Kami juga telah memperkenalkan Program Latihan Pembangunan Laman Web dan Pemasaran Digital secara atas talian kepada orang ramai. Selain secara automatik menjadi ahli Komuniti .MY, peserta juga akan mendapat bimbingan secara berterusan selama 3 bulan dan menikmati pelbagai keistimewaan lain. Mereka yang berminat boleh layari laman web atau laman sosial media kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini,” kata beliau lagi.

Datuk Ts. Hasnul juga menyatakan bahawa nama domain .MY merupakan salah satu aset digital negara dan ianya berpotensi untuk dieksport serta menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan dan ekonomi negara. Tidak terkecuali usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana akan terus mendapat manfaat terhadap rangsangan ekonomi digital negara ini, seiring dengan aspirasi YAB Perdana Menteri dalam konsep Malaysia Madani untuk mencapai ke arah Ekonomi Hijau, Digital Dan Mampan.

TAMAT


Untuk makluman lanjut, sila hubungi:
Mohd Zulhelmy Ismail
Jabatan Pemasaran dan Komunikasi
MYNIC Berhad
No telefon: 019-8071488
Emel: zulhelmy@mync.my


Gambar:

Zanariah Abdullah pemilik premis digital goldburoqglobal.my (Sambal CIk Midah) ketika program Jelajah Saya Digital di Lembah Pantai baru - baru ini.
Muhammad Khalifah Hussin (dua dari kiri) bersama Puan Norafizah, Ketua Pegawai Operasi MYNIC; Encik Amir Matamin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP (tengah); Cikgu Yaser, Master Trainer MYNIC  dan peserta PRIME MYNIC LPP tahun lepas.


You may also be interested in:

×

Search For: