Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW
×

Search For:

Generic selectors
Exact matches only
Search in title
Search in content
Post Type Selectors

Kerjasama MYNIC & Lelong.my Bakal Memacu Ekonomi Digital

PUCHONG, Selangor Darul Ehsan, 15 Feb 2019 – Dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun, ekonomi digital merupakan antara pemacu terbaharu bagi negara untuk membentuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Ekonomi digital merupakan trend baharu di dalam dunia perniagaan, dengan peningkatan jumlah individu, organisasi, syarikat dan pelabur yang mengadaptasikan maklumat dan pengetahuan digital sebagai faktor utama kejayaan di dalam mencapai matlamat perniagaan mereka.

Program Coffee with YB Minister KKMM yang telah diadakan di Lelong.my Education Centre Puchong merupakan inisiatif bersama MYNIC & Interbase Resource Sdn Bhd (Lelong.my). Kerjasama ini merupakan sokongan kepada Pelan Strategik KKMM 2019-2023 untuk Ekosistem Ekonomi Digital. MYNIC memegang peranan penting dalam memacu Ekonomi Digital dan ICT ke arah menjadi negara membangun dengan memainkan peranannya sebagai pendaftar dan pentadbir nama domain .my yang merupakan salah antara pemboleh ubah terpenting di dalam Ekosistem Ekonomi Digital.

Program ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri KKMM dan dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi KKMM, YBhg. Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC dan Encik Richard Tan, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Interbase Resources Sdn Bhd (Lelong.my). Program ini merupakan inisiatif MYNIC & Lelong.my dalam usaha untuk mendekati orang ramai secara terus bagi membolehkan mereka mengadaptasi perniagaan dalam talian di samping mengukuhkan penjenamaan produk masing-masing.

“Sejajar dengan peningkatan ekonomi digital, adalah penting bagi individu dan perniagaan untuk membentuk identiti digital yang tepat, dan kini memilih identiti bercirikan Malaysia adalah lebih bermakna berbanding keadaan sebelum ini,” kata Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC.

Pada majlis yang sama, Lelong.my juga telah menjalankan latihan Class 101: Everybody Can Sell Online untuk 100 peserta bagi mempelajari platform e-dagang dan tips untuk berniaga dalam talian. Peserta juga ditawarkan pakej khas untuk berniaga secara dalam talian dan penyediaan e-marketplace untuk peserta memasarkan produk mereka.

Richard Tan, MD Lelong.my berkata, “Matlamat kami adalah untuk terus memainkan peranan yang sewajarnya dalam ekosistem digital dengan memperkasakan dan melengkapkan perniagaan tempatan di ke arah ekonomi digital. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif 2019, di mana kami merancang untuk menjalankan 100 latihan dan kelas yang akan memberi peluang kepada lebih daripada 2,000 perniagaan tempatan “.

Inisiatif ini adalah untuk menarik minat kumpulan sasaran yang berpotensi dan ia akan dapat memberi manfaat kepada usahawan konservatif untuk bertukar ke perniagaan dalam talian dengan kos yang minimum. Platform e-dagang ini bakal memudahkan dan mempercepatkan usahawan sedia ada untuk bertukar ke perniagaan dalam talian dengan menggunakan platform yang betul. Ini akan membolehkan para peniaga menjual produk mereka secara dalam talian dan mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka di masa akan datang.

Tambah Datuk Hasnul, “Kami mahu menyediakan negara untuk masa depan digital. Di samping itu kami ingin memastikan bahawa peluang lebih terbuka kepada inovasi digital untuk memacu ekonomi digital sebagai tonggak utama ekonomi negara. Kerjasama ini juga memberi tumpuan kepada golongan pinggir bandar dan luar bandar khususnya kumpulan B40. MYNIC akan memberikan sokongan penuh dalam menyediakan teknologi sokongan serba lengkap seperti penyediaan digital kepada para pengguna .MY agar mereka sentiasa bersedia mengharungi cabaran global dalam ekonomi digital ”.

Richard menambah, “Untuk perniagaan luar talian di Malaysia, penting bagi mereka untuk memanfaatkan kehadiran secara digital supaya mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan di dalam dan luar negara. Oleh itu, inisiatif & kerjasama bersama MYNIC untuk nama domain .MY membantu meningkatkan dan membawa nilai positif kepada usahawan dan perniagaan tempatan dalam memasarkan dan mengembangkan produk mereka dalam ekosistem digital kami “.

MYNIC akan berusaha untuk membolehkan dan memperkasakan perniagaan dan industri untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital menerusi pembangunan industri nama domain sebagai sebahagian daripada infrastruktur ICT di Malaysia.

You may also be interested in: