Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW
×

Search For:

Generic selectors
Exact matches only
Search in title
Search in content
Post Type Selectors

MYNIC Bantu Usahawan di Jasin, Melaka Kuasai Pasaran Digital

AYER KEROH, Melaka 1 Disember 2019 – Dalam usaha ke arah mencapai status negara maju dan seiring dengan landskap perniagaan global yang menjurus ke arah peralihan kepada ekonomi digital, MYNIC merancang pelbagai program dan inisiatif yang berteraskan ekonomi digital untuk para usahawan terus kompetitif dan relevan kepada persekitaran perniagaan yang moden. Seiring dengan arus pemodenan ini, MYNIC telah mengambil peluang dan turun padang bagi membantu dan menyediakan peluang termasuklah kepada usahawan luar bandar melaui Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital di Jasin, Melaka.

Majlis Penutup Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital & Kesedaran ANYCAST Jasin, telah diadakan di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh, Melaka. Program ini merupakan inisiatif MYNIC dalam membantu dan membawa perniagaan yang berasaskan luar talian untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan dalam talian (offline to online) dan seterusnya bersedia menghadapi pasaran global ekonomi digital dunia.

Seramai 100 orang usahawan kecil telah terlibat dalam mentransformasikan perniagaan mereka melalui Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital ini yang telah bermula sejak April sehingga Disember 2019 yang membabitkan tiga kumpulan peserta. Antara modul latihan yang ditawarkan adalah cara membangunkan laman web, adaptasi SEO, pemasaran melalui media sosial dan penambahbaikan kandungan dalam memasarkan perniagaan. Sesi pemantauan berkala turut dijalankan bagi memantau perkembangan dan kefahaman para peserta terutamanya perkara berkaitan laman sesawang mereka, keberkesanan pemasaran digital dan pelaksanaan strategi media sosial.

“Kami mahu menyediakan negara untuk masa depan digital. Di samping itu kami ingin memastikan bahawa peluang lebih terbuka kepada inovasi digital untuk memacu ekonomi digital sebagai tonggak utama ekonomi negara.

Program sebegini adalah bagi memberi tumpuan kepada golongan pinggir bandar dan luar bandar khususnya kumpulan B40. MYNIC akan memberikan sokongan penuh dalam menyediakan teknologi sokongan serba lengkap seperti penyediaan digital kepada para pengguna .MY agar mereka sentiasa bersedia mengharungi cabaran global dalam ekonomi digital”, kata YBhg. Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC.

Program penutup ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC,dan dihadiri oleh Lembaga Pengarah MYNIC serta Pengurusan Tertinggi KKMM dan MYNIC.

Pada program penutup ini juga MYNIC turut memberi penghargaan kepada para peserta yang menunjukkan peningkatan serta potensi dengan menyediakan tiga (3) kategori anugerah iaitu Top Digital Adopters, Talented Digital Adopters dan Best Website Digital Adopters Award melalui MYNIC Digital Adopters Award (MDAA). MYNIC turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta latihan pada Majlis Penutup Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital & Kesedaran ANYCAST ini.

YBhg. Datuk Hasnul menambah, “Hasil pemerhatian dan pemantauan MYNIC, kita dapati program ini berjaya memberi impak yang ketara dan pencapaian yang memberangsangkan di mana ia bukan sahaja membantu peningkatan pendapatan perniagaan yang ketara tetapi juga berjaya membawa perniagaan mereka ke satu peringkat yang lebih baik dan sekaligus mampu bersaing dalam pasaran ekonomi digital yang lebih kompetitif”.

Melalui Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital ini, laman web para peserta yang terlibat bakal dinaiktarafkan dengan teknologi ANYCAST. Dengan adanya teknologi ini, ia membantu laman web peserta untuk mudah diakses dengan pantas.

Selain itu juga, MYNIC turut menganjurkan DNSSEC Technical Bootcamp pada keesokan harinya 2 Disember 2019, program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada Badan-badan Kerajaan serta agensi Kerajaan terutama kepada Pentadbir Sistem DNS mengenai cara pengurusan dan pemantauan Domain Name Server Security Extensions (DNSSEC) bagi memastikan keselamatan sesebuah nama domain .MY terutamanya nama domain GOV.MY.

Sasaran seramai 100 orang kakitangan Kerajaan, Badan-badan Kerajaan dan Agensi Kerajaan daripada Wilayah Selatan yang terdiri di kalangan kakitangan bahagian Teknologi Maklumat dijangka akan turut serta dalam sesi bengkel ini.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MYNIC memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital dengan peranannya sebagai pendaftar dan pentadbir nama domain .MY yang merupakan salah satu pemboleh ubah terpenting di dalam ekosistem ekonomi digital.

MYNIC juga akan berusaha untuk membolehkan dan memperkasakan perniagaan dan industri untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital menerusi pembangunan industri nama domain sebagai sebahagian daripada infrastruktur ICT di Malaysia.

-TAMAT-

You may also be interested in: