Seri Kembangan, SELANGOR DARUL EHSAN, 21 Januari 2020 – Dalam meraikan serta memberi kegembiraan Tahun Baru Baru Cina kepada golongan yang kurang bernasib baik, MYNIC Berhad telah menganjurkan program #MYNICCARES. Pada tahun ini, MYNIC memilih Pusat Jagaan orang Tua Wan Hing, Seri Kembangan. Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat MYNIC dalam membantu pusat kebajikan tersebut untuk menjalankan program di samping mengurangkan bebanan kos harian mereka.
Pusat Jagaan Orang Tua Wan Hing menempatkan lebih 30 orang warga emas. Dengan membawa semangat ‘Kemakmuran Bersama’, MYNIC mengambil peluang untuk meraikan golongan warga emas serta membantu dan menceriakan sambutan Tahun Baru Cina mereka kali ini.
MYNIC juga berbesar hati menerima kehadiran YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), YBhg. Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC dan pengurusan tertinggi MYNIC.
“Kami amat berbesar hati kerana berpeluang untuk menganjurkan program yang mampu memberikan senyuman dan kegembiran kepada golongan sebegini. Bagi menyokong semangat “Kemakmuran Bersama”, #MYNICCARES merupakan salah satu cara untuk memberikan semangat dan kegembiraan kepada masyarakat yang lebih memerlukan. Tahun Baru Cina merupakan perayaan kegembiraan, kebersamaan dan kemakmuran. Inilah yang kami cuba sampaikan, melalui pasukan #MYNICCARES yang hadir pada hari ini, ia merupakan sebahagian daripada kegembiraan dan kebahagian kepada warga emas yang sentiasa menantikan seseorang untuk bersama dan mengambil berat tentang mereka.” kata YBhg. Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC.
Program seperti ini amat bermakna kepada golongan ini dan seterusnya dapat memberi kelainan kepada rumah tersebut. Pasukan #MYNICCARES telah bergotong-royong dalam menceriakan rumah warga emas dengan mengecat dan mengemas kawasan persekitaran. Selain itu, MYNIC turut memberi sumbangan berupa kelengkapan elektrik dan katil bernilai RM10,000 untuk memperbaiki kehidupan penghuninya.
Tambah Datuk Hasnul, “MYNIC sentiasa mencari peluang untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Kami amat gembira kerana pasukan kami teruja untuk menjadi sukarelawan dan menyertai program ini. Ia menunjukkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia”.
Dengan penganjuran program sebegini, ia menunjukkan yang MYNIC tidak hanya memfokuskan kepada hal-hal pentadbiran dan operasi semata-mata sebaliknya syarikat turut menitikberatkan perkara yang berkaitan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat telah dan akan dilaksanakan oleh MYNIC untuk dinikmati oleh masyarakat di luar sana, di mana untuk strategi jangka panjang ianya akan memberi manfaat kepada sosio ekonomi negara secara keseluruhannya.
#MYNICCARES telah diperkenalkan pada 2019 dengan tujuan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik serta yang memerlukan. Sebagai sebuah agensi dibawah KKMM, MYNIC sentiasa mengambil peluang untuk membantu masyarakat bukan sahaja melalui perkhidmatan yang ditawarkan namun turut membantu dalam program berbentuk kemanusiaan. Program ini bertujuan untuk memupuk budaya dan semangat sukarelawan serta menggalakkan aktiviti yang berkaitan dengan kerja-kerja amal.
-TAMAT-