Mesyuarat Agung Tahunan APTLD 76 di Johor Bharu di Bawah Anjuran Bersama MYNIC dan APTLD
Press Releases
05 September 2019
JOHOR BAHRU, Johor Darul Takzim, 5 September 2019 – Asia Pacific Top Level Domain Association (APTLD) telah mengadakan mesyuarat agung tahunan di Malaysia, di mana MYNIC turut menjadi penganjur bersama bagi mesyuarat tersebut yang telah berlangsung dari 5-6 September 2019 bertempat di Jen Hotel, Puteri Harbour, Johor Bharu, Malaysia.
Mesyuarat APTLD yang diadakan dua kali setahun turut membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan nama domain di Asia serta perkembangan lain yang berkaitan dengan nama domain di seluruh dunia. Mesyuarat ini turut membincangkan impak dan pembangunan terkini dalam sektor seperti undang-undang yang berkaitan dengan ruang siber, privasi, domain peringkat tertinggi (TLDs) dan perlindungan nama dagangan. Mesyuarat ini telah berjaya mengumpulkan 100 orang peserta dari pendaftar ccTLD yang berbeza di rantau ini terutama dari negara-negara Asia Pasifik iaitu Singapura, Korea, Taiwan, Vietnam, Filipina, Jepun, New Zealand, Australia, Hong Kong, Rusia dan China.
Mesyuarat ini mengumpulkan kumpulan pakar dan pihak yang berkepentingan untuk membincangkan dan berkongsi isu-isu penting yang berkaitan dengan nama domain Internet dari segi dasar, privasi, keselamatan dan lain-lain. Objektif mesyuarat adalah untuk bertukar maklumat dan kemahiran yang berkaitan dengan nama domain Internet, untuk menjadi platform bagi perbincangan tentang hal-hal dasar nama domain dan sebagai pemudahcara antara badan penyelarasan Internet dan badan-badan lain yang terlibat dalam operasi nama domain Internet. Ia juga merupakan platform untuk memahami pelbagai isu dan pengalaman pelaksanaan yang dilakukan di negara serantau dalam mempromosikan penggunaan nama domain.
“Ia juga menjadi platform perkongsian maklumat, samada melibatkan isu teknologi atau isu operasi pendaftar nama domain serantau yang menggalakkan penyertaan ccTLD Asia Pasifik dalam forum global, serta suara dan pendapat dari ahli-ahli ATPLD dapat diketengahkan ke peringkat global dalam menggubal dasar Internet untuk manfaat bersama" kata Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC.
Antara isu yang dibentang dan dibincangkan semasa mesyuarat ialah strategi pemasaran nama domain premium dan lelongan, Domain Name System Security Extensions (DNSSEC) dan keupayaan sistem keselamatan lain-lain DNS dan persamaan serta ciri-ciri bagi akreditasi dan operasi untuk pendaftar ccTLD.
Tambah Datuk Hasnul, "Dalam mempersiapkan negara ke arah masa depan berteraskan digital, kita perlu membuka peluang kepada inovasi digital supaya memacu ekonomi digital yang menjadi tonggak ekonomi negara. Sebagai salah sebuah agensi di kenalpasti sebagai Critical National Information Infrastructure (CNII) di Malaysia, MYNIC memainkan peranan penting dalam kerjasama dengan ccTLD Asia Pasifik yang lain bagi memastikan perkembangan, perlindungan dan pendapat mereka diketengahkan di peringkat global. MYNIC berperanan secara aktif dalam APTLD di mana saya turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah badan tersebut."
Memandangkan Malaysia telah memasuki Revolusi Perindustrian ke-4, terdapat perubahan yang mendadak bagi banyak perkara seperti infrastruktur yang maju, undang-undang data, dan perkara berkaitan internet yang mendorong negara ke arah ekonomi digital. Oleh itu, Mesyuarat APTLD adalah forum penting bagi membincangkan prospek pada masa hadapan, di mana besar harapan kami untuk membawa sesuatu yang baik untuk rakyat Malaysia dan dunia.
MYNIC turut menganjurkan Majlis Makan Malam dan program lawatan ke Johor Bahru untuk menjalinkan hubungan yang kukuh antara ahli-ahli APTLD serta menikmati budaya dan warisan Malaysia. Majlis Makan malam diadakan di Hotel DoubleTree by Hilton Johor. Acara ini dianjurkan oleh MYNIC dan disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Kerajaan Negeri Johor. Membawakan tema P. Ramlee bagi menonjolkan ikon lagenda seni hiburan tanahair dan sumbangan besar beliau terhadap industri hiburan di Malaysia. Fesyen, lagu dan dialog dari filem-filemnya sentiasa memberi inspirasi kepada orang ramai bagi menghasilkan produk yang kreatif yang mampu menarik perhatian dunia.
Majlis Makan Malam APTLD-76 turut dihadiri oleh YB Tuan Sr. Dzulkefly Bin Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, YBhg. Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, pegawai SKMM dan KKMM dan juga pegawai Kerajaan Negeri Johor.
MYNIC juga merangka sesi lawatan untuk meneroka keindahan Johor seperti Kampung Budaya Melayu, Kompleks Kraft Johor, Jalan Tan Hiok Nee, Istana Bukit Serene dan banyak lagi tempat telah dirancang untuk delegasi bagi mendalami keunikan budaya dan tradisi Malaysia. Setiap delegasi turut berpeluang untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti seni tradisional seperti Pembuatan Lukisan Batik, Teh Tarik dan Roti Canai.
MYNIC sentiasa berusaha untuk memperkasakan perniagaan dan industri untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital melalui pembangunan industri nama domain yang merupakan salah satu infrastruktur ICT di Malaysia.
-TAMAT-