Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW

MYNIC KONGSI BAHAGIA BERSAMA ANAK-ANAK DI RUMAH NUR SAKINAH
MYNIC peruntukkan hampir RM30,000 rai anak-anak sempena Aidiladha

Damansara, 8 Jun 2024 – Keprihatinan MYNIC Berhad (MYNIC) terhadap Kebajikan dan kesejahteraan golongan memerlukan terutamanya anak-anak yatim dan asnaf telah membawa MYNIC kepada penganjuran kedua program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) #IkhlasMYNIC iaitu Kunjungan Kasih Aidiladha di Pusat Jagaan Rumah Nur Sakinah di Damansara Damai. Seramai 40 orang anak-anak yatim dan asnaf yang berumur empat sehingga 12 tahun telah diraikan pada majlis tersebut.

MYNIC telah memperuntukkan hampir RM30,000 dalam penganjuran majlis ini yang terdiri daripada sumbangan tunai RM10,000, pembangunan laman web dengan langganan selama tiga tahun, banner yang baharu, barangan keperluan asas seperti lampin pakai buang, susu tepung, makanan kering, barangan mandian, dan pertandingan melukis serta mewarna.

Program #IkhlasMYNIC Kunjungan Kasih Aidiladha ini turut dihadiri oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Damansara dan diiringi oleh YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC.

YB Gobind berkata, “Sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelma tidak lama lagi, ianya sinonim dengan pengorbanan dan kasih sayang. Ini yang saya nampak berlaku pada hari ini. Kasih sayang yang dipancarkan oleh penjaga Rumah Nur Sakinah serta pengorbanan mereka menjaga anak-anak di sini amat menyentuh hati”.

Rumah Nur Sakinah telah ditubuhkan pada tahun 2015 dan menerima bantuan dari segi kewangan serta sukarelawan oleh NGO, individu prihatin dan masyarakat berdekatan.

“Melalui program sebegini, membuatkan kita rasa bersyukur dan lebih menghargai kasih sayang dan pengorbanan masyarakat disekeliling kita. Saya berharap program sebegini akan diteruskan oleh MYNIC yang sentiasa prihatin akan keperluan dan kesejahteraan komuniti”, tambah YB Gobind.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, “MYNIC juga akan membimbing Rumah Nur Sakinah untuk membangunkan laman web rasmi menggunakan nama domain .MY supaya mereka akan lebih mudah

berkongsi maklumat dan aktiviti mereka. Laman web tersebut juga boleh menjadi sumber kepada aktiviti sukarelawan dan orang ramai yang ingin menyumbang.”

MYNIC sebagai salah sebuah agensi di bawah Kementerian Digital berperanan untuk memacu pendigitalan negara melalui transformasi ekonomi digital. Justeru, MYNIC menyahut seruan Kerajaan MADANI dalam menggerakkan rakyat daripada pelbagai komuniti menjalankan operasi perniagaan atau organisasi masing-masing di dalam talian.

Beliau menambah, “MYNIC telah menyusun beberapa program kemasyarakatan untuk merancakkan pendigitalan komuniti tetapi terdekat yang kami sedang usahakan adalah untuk mendigitalkan sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan menawarkan Pembangunan laman web menggunakan nama domain EDU.MY. Inisiatif ini akan membantu sekolah-sekolah tersebut untuk berhubung dan mengukuhkan penjenamaan mereka supaya tidak ketinggalan dan relevan di dalam industri digital”.

Pengurus Pusat Jagaan Rumah Nur Sakinah, Puan Safiyyah binti Azmi menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati dengan anjuran program #IkhlasMYNIC Kunjungan Kasih Aidiladha.

“Saya mengucapkan terima kasih dan amat terharu dengan kunjungan serta sumbangan MYNIC serta pihak Parlimen Damansara yang sedikit sebanyak dapat membantu kami meneruskan hari-hari kami di sini bersama anak-anak. Saya lihat anak-anak sangat gembira dengan aktiviti yang dianjurkan hari ini”, ujar beliau.

MYNIC yang bertindak mengurus dan mentadbir nama domain .MY sentiasa mengambil peluang untuk membantu masyarakat bukan sahaja melalui perkhidmatan yang ditawarkan namun turut membantu dalam program berbentuk kemanusiaan dan kesejahteraan komuniti.

-TAMAT-

You may also be interested in:

×

Search For: