MYNIC Laksana Inisiatif Pemerkasaan Digitalisasi
MYNIC sumbang Geran Pembangunan Digital bernilai hampir RM70,000 kepada Komuniti dan Institusi Pendidikan
Press Releases
21 September 2024
Damansara,
21 September 2024 – MYNIC Berhad (MYNIC), dengan kerjasama Kementerian Digital
dan Parlimen Damansara, hari ini telah menganjurkan program #IkhlasMYNIC
Transformasi Pemerkasaan Komuniti dan Institusi Pendidikan ke Arah
Digitalisasi. Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini merupakan usaha
berterusan MYNIC untuk memperkasa komuniti yang pelbagai dan institusi
pendidikan melalui transformasi digital, selaras dengan matlamat negara ke arah
masyarakat celik digital.
Majlis ini telah disempurnakan dengan kehadiran YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Damansara, yang turut menekankan pentingnya pemerkasaan digital dalam pelbagai sektor komuniti. Fokus utama program ini adalah memanfaatkan teknologi digital bagi memastikan tiada lapisan masyarakat yang tertinggal dalam arus kemajuan digital yang pesat ini.
Transformasi
Pemerkasaan Komuniti dan Institusi Pendidikan ke arah Digitalisasi
Dalam
ucapannya, YB Gobind Singh Deo menyatakan bahawa, "Melalui pendekatan yang
holistik, Kementerian Digital bersama MYNIC dan Parlimen Damansara bekerjasama
untuk menggerakkan perubahan positif yang menyeluruh, memastikan setiap lapisan
masyarakat bersedia menghadapi era transformasi digital."
YB Gobind
Singh juga menekankan sokongan MYNIC terhadap inisiatif Program Satu Pemimpin
Satu Kampung (SANTUNI MADANI), di mana Kampung Masjid Pekan Sungai Buloh telah
menjadi "Kampung Angkat" MYNIC. MYNIC akan menyumbangkan Geran
Pembangunan Digital bernilai RM31,500. Geran ini merangkumi pakej latihan
membangunkan premis digital dengan sistem eDagang yang lengkap kepada Kampung Masjid Pekan Sungai Buloh.
Geran tersebut akan turut diberikan kepada Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh
serta sepuluh usahawan terpilih dari kampung tersebut bagi memperkasakan
infrastruktur digital dan keupayaan komunikasi mereka.
Selaras
dengan pelancaran 'Dasar Pendidikan Digital' oleh YAB Perdana Menteri, yang
bertujuan melahirkan masyarakat yang celik digital, MYNIC telah mengambil
inisiatif untuk melaksanakan fasa pertama transformasi digital yang memfokuskan
kepada institusi Maahad Tahfiz di kawasan Damansara. Program ini merupakan
permulaan kepada pelan yang lebih besar, di mana transformasi digital akan
diperluaskan kepada lebih banyak institusi pendidikan di seluruh Malaysia,
memberi manfaat kepada sekolah-sekolah dan komuniti setempat.
Menurut
Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai eksekutif MYNIC, “Sebagai
sebahagian daripada komitmen menyokong transformasi digital, MYNIC telah
menyediakan Geran Pembangunan Digital yang bernilai RM3,500 setiap satu kepada institusi
Maahad Tahfiz dan Masjid Al-Ma’muriah Kampung Sg. Kayu Ara. Inisiatif ini
bertujuan untuk memperkukuh penjenamaan institusi-institusi tersebut, selaras
dengan kemajuan pendigitalan negara. Selain itu, setiap institusi turut
menerima sumbangan tunai sebanyak RM1,000 bagi menyokong keperluan operasi
mereka. Ini merupakan fasa awal dan akan terus diperkembangkan ke Institusi Pendidikan yang lain pada masa
hadapan”.
Pada
majlis tersebut, MYNIC turut mengumumkan bahawa promosi lima Geran Pembangunan
Digital percuma untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah
bermula, dengan permohonan dibuka sehingga 15 Oktober 2024. MYNIC berharap
ramai usahawan akan merebut peluang ini kerana dalam era digital yang bergerak
pantas, memiliki laman web adalah komponen penting untuk mengembangkan
perniagaan.
“Saya berharap geran pembangunan digital bernilai hampir RM70,000 yang diberikan hari ini dapat membantu institusi-institusi yang terlibat untuk bergerak lebih aktif dalam ruang digital, serta memperluaskan lagi penyebaran komunikasi melalui platform laman web”, ujar beliau.
Menang 5g
Jongkong Emas melalui Kempen Istimewa Merdeka ‘RevUp and Register’
Selain
itu, MYNIC turut mengumumkan pemenang kempen khas ‘RevUp and Register’, yang
dijalankan sepanjang bulan Kemerdekaan pada Ogos yang lalu.
“Kempen
ini telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan dengan lebih 3,000
pendaftaran nama domain .MY pada bulan Ogos sahaja. Pemenang utama yang dipilih
secara rawak telah membawa pulang jongkong emas seberat 5g. Oleh kerana itu,
kami berbesar hati untuk meneruskan kempen istimewa ini pada bulan Oktober
bersempena dengan perayaan Deepavali”, akhiri Datuk Hasnul.
Sementara
itu, pemenang kempen khas ‘RevUp and Register’ Istimewa Merdeka Roshafezeynoor
bin Md Jaini berkata beliau amat terkejut dengan kemenangan ini.
“Saya amat
teruja dengan kemenangan yang tidak disangka. Laman web ayamkg.com.my dibina
untuk memasarkan penjualan ayam kampung ke pasaran yang lebh luas melalui
platform digital. Alhamdulillah sambutan dan trafik ke laman web ayamkg.com.my
makin meningkat dari hari ke hari,” akhiri Roshafezeynoor yang berasal dari
Shah Alam ini.
MYNIC sentiasa berusaha untuk memberi manfaat kepada masyarakat, bukan hanya melalui perkhidmatan yang disediakan, tetapi juga dengan menyokong pelbagai program kemanusiaan dan kesejahteraan komuniti. Secara tidak langsung, MYNIC yakin ia akan mendorong perubahan positif menerusi pemerkasaan digital, sekaligus menegaskan komitmen MYNIC untuk mendukung usaha Kerajaan menuju ke arah menjadi sebuah negara yang maju dalam sektor digital.
-Tamat-