Program #IkhlasMYNIC Deepavali: MYNIC Perkasakan Komuniti dengan Sumbangan dan Geran Digital
Press Releases
19 October 2024
Batu Caves, 19 Oktober 2024 – MYNIC Berhad (MYNIC), agensi di bawah Kementerian Digital meneruskan misi prihatin dengan menyumbang barangan makanan asas kepada 30 keluarga sempena sambutan Deepavali pada akhir bulan ini.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran MYNIC iaitu #IkhlasMYNIC Deepavali, Lighting Up Lives, Sharing Joy turut disertai oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Damansara dan diiringi oleh YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC serta Pengurusan Tertinggi MYNIC.
YB Tuan Gobind Singh Deo dalam ucapannya berkata Program #IkhlasMYNIC Deepavali ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan dan agensi dalam menjaga kebajikan masyarakat, tanpa mengira latar belakang.
“Deepavali adalah perayaan yang menekankan nilai-nilai perpaduan dan kasih sayang, dan melalui inisiatif ini, kita berusaha untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik agar dapat menikmati perayaan ini dengan penuh kegembiraan,” ujar beliau.
“Saya berbesar hati ke atas keprihatinan MYNIC untuk terus menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat seperti ini. Inisiatif ini membuktikan bahawa agensi dan organisasi di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pengurusan operasi syarikat, tetapi turut prihatin terhadap keperluan masyarakat.”
Melalui program #IkhlasMYNIC Deepavali ini, seramai 30 keluarga telah menerima bakul makanan asas seperti beras super 5, minyak masak, gula, garam, tepung, uncang teh dan lain-lain bagi membuat persiapan pesta cahaya ini.
“Melalui sumbangan bakul makanan ini, sedikit sebanyak mampu mengurangkan bebanan keluarga yang terlibat dan secara tidak langsung memberikan satu sinar kebahagian kepada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyambut perayaan Deepavali dengan gembira bersama keluarga tersayang,” akhiri beliau.
Selain daripada sumbangan barangan keperluan, YB Gobind turut menyampaikan 12 Geran Latihan Keusahawanan Digital Pembangunan Laman Web eDagang kepada usahawan terpilih dari Parlimen Damansara.
Datuk Ts. Hasnul, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC turut menyatakan bahawa melalui inisiatif ini, MYNIC bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, tetapi juga memperkasakan usahawan tempatan melalui pendigitalan perniagaan.
“Pemberian Geran Latihan Keusahawanan Digital Pembangunan Laman Web eDagang kepada 12 usahawan ini adalah salah satu daripada usaha MYNIC dalam menyokong aspirasi Kerajaan, khususnya Kementerian Digital untuk membangunkan ekonomi digital yang lebih mampan dan inklusif,” kata Datuk Ts. Hasnul.
“Setiap geran bernilai RM3,500 diberikan kepada usahawan yang terlibat dalam Program Jiwa Komuniti yang telah berlangsung pada 21 September 2024 lalu. Geran ini bertujuan untuk membantu para usahawan mempertingkatkan perniagaan mereka melalui platform digital.”
“Selain pemberian sumbangan bakul makanan deepavali kepada 30 keluarga pada hari ini, inisiatif seperti geran latihan ini juga merupakan tanggungjawab sosial MYNIC sebagai sebuah agensi yang berperanan selaku pemboleh upaya digital sekaligus mencapai visi Kerajaan dan Kementerian Digital dalam memacu ekonomi digital negara serta membantu untuk mentransformasi Malaysia sebagai negara digital,” akhiri beliau lagi.
Program CSR MYNIC yang telah mula dianjurkan sejak tahun 2019 merupakan salah satu inisiatif syarikat bagi berkongsi kegembiraan serta menceriakan golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal, warga tua dan lain-lain lagi.
Sebagai sebuah agensi dibawah Kementerian Digital, MYNIC yang berperanan untuk mengurus dan mentadbir nama domain .MY dan sentiasa mengambil peluang untuk membantu masyarakat bukan sahaja melalui perkhidmatan yang ditawarkan malah turut membantu dalam program berbentuk kemanusiaan.
-TAMAT-