MYNIC MELANCARKAN PRIME (Program Realisasi Impian Ekonomi Digital) UNTUK MEMACU PENGGUNAAN DIGITAL DI SELURUH MALAYSIA
Press Releases
27 November 2020
PUTRAJAYA, 27 November 2020 – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini melancarkan PRIME (Program Realisasi Impian Ekonomi Digital), sebuah inisiatif yang diperkenalkan oleh MYNIC bagi memacu adaptasi digital di kalangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) serta meningkatkan daya saing perniagaan kecil di Malaysia.
Di bawah inisiatif ini, MYNIC telah memperkenalkan kategori baharu nama domain iaitu .BIZ.MY khusus untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) di Malaysia serta memacu adaptasi digital.
Bersempena dengan pelancaran PRIME, MYNIC menawarkan 20,000 nama domain .BIZ.MY secara percuma yang melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM1.6 juta kepada MSME yang layak.
Antara rakan-rakan strategik MYNIC termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi-agensinya, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SME Corp, Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB), Pahang Go Sdn Bhd, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan UTMSPACE.
YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata, "PKS dan MSME adalah tulang belakang untuk pertumbuhan ekonomi negara, dan kami amat berbesar hati kerana dapat menyokong inisiatif PRIME oleh pihak MYNIC ini bagi membantu memacu ekonomi digital di Malaysia.“
"Sebagai sebahagian daripada inisiatif PRIME, kami berharap dengan menawarkan MSME nama domain .BIZ.MY secara percuma, perkara ini mampu mendorong usahawan untuk memiliki perniagaan dalam talian dan platform e-dagang mereka sendiri untuk mengembangkan perniagaan selari dengan pelbagai inisiatif Kerajaan untuk memacu ekonomi digital seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan penubuhan Majlis Digital Negara di mana inisiatif ini bukan hanya akan merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi turut membantu untuk meningkatkan peluang pekerjaan di negara ini,” tambah YB Dato’ Saifuddin.
YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC berkata, “Dengan memperkenalkan kategori nama domain .BIZ.MY, kami berharap inisiatif ini dapat memacu lebih banyak usahawan untuk mendigitalisasikan perniagaan dan seterusnya membantu mereka untuk terus berdaya saing dalam ekonomi digital Malaysia. Dengan menawarkan nama domain .BIZ.MY percuma kepada MSME mereka berpeluang untuk memilih identiti perniagaan yang unik dan tersendiri. Kami yakin ia akan membantu mengembangkan perniagaan mereka bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga sehingga ke peringkat antarabangsa. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan strategik di atas sokongan dan kerjasama untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif bagi menggalakkan pertumbuhan MSME di Malaysia."
Melalui .BIZ.MY, perniagaan akan memperolehi keistimewaan yang lebih kompetitif melalui peningkatan Search Engine Optimization (SEO) yang mampu memberikan keutamaan kepada pengguna domain tempatan dalam enjin carian Internet. Ia juga meningkatkan kredibiliti dan tahap keselamatan yang lebih efektif dengan kos tahunan RM80 sahaja.
“Selepas majlis pelancaran di peringkat persekutuan ini, PRIME akan dilancarkan di peringkat negeri di mana ia akan bermula di Indera Mahkota, Pahang. Seterusnya, MYNIC akan melaksanakan program Latihan Keusahawanan Digital untuk melatih 5000 MSME yang berdaftar di bawah PRIME pada tahun 2021. Akhir sekali, pembangunan direktori digital akan diperkenalkan oleh MYNIC pada pertengahan 2021 untuk memberi pendedahan dan memperkasakan lagi platform digital, ”kata YBhg. Datuk Ts. Hasnul.
Pendaftaran boleh dibuat melalui http://mynic.my/prime atau agen jualan MYNIC mulai 1 Disember 2020.
Layari http://mynic.my/prime untuk syarat kelayakan dan maklumat lanjut.
TAMAT