Kempen untuk memperkasa pertumbuhan nama domain .MY dan menangi hadiah bernilai hampir RM200,000
Cyberjaya, 06/05/2024: MYNIC Berhad (MYNIC), sebuah agensi di bawah Kementerian Digital baru-baru ini telah melancarkan kempen ‘RevUp and Register’ bermula 1 Mei 2024 lalu bagi memperkasa pertumbuhan salah satu aset digital negara iaitu nama domain .MY.
Kempen yang akan berlangsung sehingga 31 Disember 2024 ini turut menawarkan pelbagai hadiah yang bernilai hampir RM200,000 termasuklah sebuah kereta Proton X50, bar emas (gold bar), peralatan elektrik dan barangan elektronik seperti PlayStation 5, telefon bimbit, tablet, serta lain-lain hadiah istimewa kepada setiap pendaftaran baharu nama domain .MY.
Kempen ‘RevUp and Register’ ini juga merupakan salah satu inisiatif MYNIC dalam meneraju perubahan progresif menerusi inovasi teknologi dan transformasi digital. Seiring hasrat Kerajaan MADANI untuk meningkatkan tahap kepenggunaan digital dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital, MYNIC komited dalam memastikan rakyat tidak ketinggalan dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan digital semasa.
Sebanyak 18 Registrar MYNIC telah turut serta di dalam kempen ‘RevUp and Register’ ini untuk bersama-sama mencapai objektif penganjuran untuk memanfaatkan identiti unik nama domain .MY sekaligus mengukuhkan kelebihan daya saing .MY dalam pasaran domestik dan global.
Tambah menarik, beberapa siri khas akan dilancarkan sepanjang kempen ‘RevUp and Register’ ini diadakan. Ini termasuklah peluang menerima penyertaan berganda pada tempoh masa istimewa seperti Hari Raya Aidiladha, Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Perayaan Deepavali. Peluang keemasan ini sekali gus membuka lebih banyak ruang serta peluang untuk memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan.
Pada tahun ini, MYNIC menyasarkan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya peniaga mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dalam menggunakan nama domain .MY melalui laman web dan emel untuk mengembangkan operasi perniagaan masing-masing. Dengan menggunakan nama domain .MY, mereka mampu bergerak lebih efisien bersama capaian yang tiada batasan dan dapat mengukuhkan penjenamaan digital mereka.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai yang beminat untuk sertai pertandingan ini boleh layari www.mynic.my atau mengikuti perkembangan terkini kempen ‘RevUp and Register’ ini melalui platform sosial media MYNIC.
-TAMAT-