Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW

MYNIC Bantu Usahawan Luar Bandar Melalui Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital

JASIN, Melaka 29 Jun 2019 – Kemajuan teknologi dan internet yang berkembang pesat merupakan bonus bagi individu dan juga organisasi untuk melangkah lebih jauh di dalam era globalisasi ini. Melalui kemajuan ini, individu dan organisasi seharusnya mengambil peluang bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka ke tahap yang lebih tinggi. Sehubungan dengan itu, MYNIC telah turun padang bagi membantu dan menyediakan peluang kepada usahawan luar bandar melaui Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital. Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital yang diadakan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, Melaka bertujuan mendekati dan memastikan tiada sesiapapun dikecualikan daripada menerima adaptasi teknologi terkini. Program ini menumpukan kepada kelompok sasaran yang terdiri daripada golongan usahawan luar bandar bagi membawa mereka melibatkan diri dalam dunia perniagaan dalam talian. Ini adalah supaya usahawan lebih bersedia untuk menghadapi pasaran global ekonomi digital. Seramai 100 orang peserta disasarkan oleh MYNIC bagi mengikuti program ini. Pada majlis yang sama, bersempena dengan bulan Syawal, MYNIC juga menganjurkan Majlis Jamuan Hari Raya bagi meraikan peserta yang terlibat dalam program latihan ini. Untuk program ini, MYNIC turut menyediakan ganjaran kepada enam orang peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital dijalankan. Majlis tersebut turut disertai YBhg. Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC dan Pengurusan Tertinggi MYNIC. “MYNIC bukan sahaja memberi latihan kepada peserta, malah turut bersama membantu dengan membuat pemantauan berkala bagi memastikan perkembangan perniagaan dalam talian yang berterusan oleh para usahawan ini’, kata YBhg. Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC. Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital telah bermula sejak April sehingga Disember 2019 yang membabitkan tiga kumpulan peserta. Antara modul latihan yang ditawarkan adalah cara membangunkan laman web, adaptasi SEO, pemasaran melalui media sosial dan penambahbaikan kandungan dalam memasarkan perniagaan. Tambah Datuk Hasnul, "Kami mahu menyediakan negara untuk masa depan digital. Di samping itu kami ingin memastikan bahawa peluang lebih terbuka kepada inovasi digital untuk memacu ekonomi digital sebagai tonggak utama ekonomi negara. Program sebegini adalah bagi memberi tumpuan kepada golongan pinggir bandar dan luar bandar khususnya kumpulan B40. MYNIC akan memberikan sokongan penuh dalam menyediakan teknologi sokongan serba lengkap seperti penyediaan digital kepada para pengguna .MY agar mereka sentiasa bersedia mengharungi cabaran global dalam ekonomi digital”. Melalui Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital ini, laman web para peserta yang terlibat bakal dinaiktarafkan dengan teknologi ANYCAST. Dengan adanya teknologi ini, ia membantu laman web peserta untuk mudah diakses dengan pantas. Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MYNIC memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital dengan peranannya sebagai pendaftar dan pentadbir nama domain .my yang merupakan salah satu pemboleh ubah terpenting di dalam ekosistem ekonomi digital. MYNIC juga akan berusaha untuk membolehkan dan memperkasakan perniagaan dan industri untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital menerusi pembangunan industri nama domain sebagai sebahagian daripada infrastruktur ICT di Malaysia. -TAMAT-

You may also be interested in:

×

Search For: