Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW

MYNIC SINARI SYAWAL BERSAMA KELUARGA ASNAF
MYNIC peruntuk lebih RM50,000 dalam membantu keluarga yang memerlukan

Damansara, 6 April 2024 – Komitmen MYNIC Berhad (MYNIC) dalam memastikan kesejahteraan komuniti dan masyarakat terutamanya golongan asnaf membawa MYNIC kepada penganjuran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu #IkhlasMYNIC Sinari Ramadan, Raikan Syawal. Seramai 9 keluarga Asnaf daripada Bukit Lanjan, Bandar Utama, dan Kampung Tunku telah mendapat manfaat daripada program ini.

Program #IkhlasMYNIC turut disertai oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Damasara dan diiringi oleh YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC serta Pengurusan Tertinggi MYNIC.

MYNIC memilih untuk melakukan program CSR pada bulan Ramadan adalah kerana bulan Ramadan adalah bulan keberkatan yang dinantikan oleh umat Islam sedunia. Allah S.W.T telah menjanjikan gandaan pahala pada setiap amalan dan ibadah yang dilakukan pada bulan yang mulia ini. Ramadan juga mengajar kita untuk lebih banyak bersabar dan bersyukur di atas rezeki dan kejayaan yang dimiliki serta jauhi sifat tamak dalam diri.

Intipati program #IkhlasMYNIC pada hari ini adalah dengan membawa golongan asnaf yang untuk merasai keseronokan membuat persediaan menyambut Syawal tidak lama lagi.

YB Gobind berkata, “Saya berbesar hati MYNIC menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat dan memilih kawasan Damansara sebagai lokasi pilihan mereka. Ini kerana, kawasan ini juga mempunyai keluarga yang kurang berkemampuan untuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.”

Melalui inisiatif CSR ini juga dapat memperlihatkan usaha yang berterusan serta menjadi contoh dalam menekankan kepentingan agensi Kerajaan untuk melestarikan kemakmuran masyarakat.

“Melalui sumbangan ini, sedikit sebanyak mampu mengurangkan bebanan keluarga asnaf yang terlibat dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa badan korporat

serta agensi Kerajaan sentiasa prihatin dengan kesusahan yang dialami rakyat”, akhiri beliau.

Manakala Datuk Hasnul pula menyatakan MYNIC memperuntukkan lebih RM50,000 bagi meraikan keluarga asnaf di kawasan Damansara untuk menyambut lebaran.

“Insya-Allah umat Islam seluruh dunia bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Sehubungan itu, MYNIC memperuntukkan lebih RM50,000 bagi membeli barang keperluan Hari Raya seperti baju, kasut dan sebagainya di One Utama, Bandar Utama.”

“Setelah selesai membeli-belah, mereka seterusnya di bawa ke The Royale Chulan Damansara untuk majlis iftar selain terdapat pengisian rohani sempena minggu terakhir Ramadan,” kata beliau.

Program CSR MYNIC yang telah mula dianjurkan sejak tahun 2019 merupakan salah satu inisiatif syarikat bagi berkongsi kegembiraan serta menceriakan golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal dan asnaf.

“Selain daripada itu, MYNIC juga turut membantu usahawan dalam membina premis digital untuk memperkasa dan meluaskan jaringan capaian perniagaan mereka sehingga ke peringkat global.”

Beliau menambah “Pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MYNIC, antaranya ialah Webinar Cerita.MY Saya yang berjaya membantu lebih 60,000 jumlah peserta sejak mula diperkenalkan pada tahun 2021 sehingga 2023, dengan capaian lebih 1.2 juta jumlah ‘reach’ di FB Live and YouTube”.

Cerita .MY Saya merupakan sebuah inisiatif MYNIC untuk mengetengahkan usahawan-usahawan PMKS yang menggunakan nama domain .MY sebagai identiti penjenamaan perniagaan mereka.

“Ini juga merupakan tanggungjawab sosial kami sebagai sebuah agensi yang berperanan selaku pemboleh upaya digital sekaligus mencapai visi Kerajaan dalam memacu ekonomi digital negara serta membantu untuk mentransformasi Malaysia sebagai negara digital,” akhiri beliau.

Sebagai sebuah agensi dibawah Kementerian Digital, MYNIC yang bertindak mengurus dan mentadbir nama domain .MY sentiasa mengambil peluang untuk

membantu masyarakat bukan sahaja melalui perkhidmatan yang ditawarkan namun turut membantu dalam program berbentuk kemanusiaan.

Dengan penganjuran program sebegini, ia menunjukkan yang MYNIC tidak hanya memfokuskan kepada hal-hal pentadbiran dan operasi semata-mata sebaliknya syarikat turut menitikberatkan perkara yang berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

-TAMAT-


You may also be interested in:

×

Search For: