SERDANG, Selangor, 20 Ogos 2017 – Lebih daripada 10,000 peminat larian bersama ahli keluarga dan sahabat handai telah berkunjung ke MAEPS bagi menyertai program larian MERDEKA MYBUDDIES RUN 2017 yang diadakan pada pagi Ahad.
MERDEKA MYBUDDIES RUN 2017 diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 melibatkan tiga kategori iaitu 21 KM, 10 KM dan 5 KM (Fun Run). Semenjak tahun 2015 lagi, program ini telah menjadi antara program larian yang di nantikan oleh rakyat Malaysia dengan penyertaan oleh ribuan pelari tempatan termasuk program yang diadakan buat kali Ke-4 ini yang mana turut melibatkan penyertaan yang lebih ramai berbanding tahun sebelumnya.
Program larian ini melibatkan beberapa kawasan yang mempunyai pemandangan cantik seperti Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Insitut Penyelidikan & Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) turut menyaksikan kehadiran para peserta, tetamu serta orang kenamaan seawal jam 5.00 pagi.
Sejurus pelepasan, lebih daripada 8,000 orang telah berkumpul dengan memakai kemeja – T MERDEKA MYBUDDIES RUN 2017 yang direka khas untuk program tersebut anjuran Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) dan penyedia nama domain nasional, MYNIC.
Acara pelepasan larian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Jailani Johari, Timbalan Menteri KKMM, YBhg Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha KKMM, YBhg Datuk Bridget Lai, Pengerusi MYNIC dan Datuk Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC. Larian tersebut kemudian turut disertai oleh para tetamu kehormat dan juga ibu bapa yang turut hadir bersama keluarga dan anak – anak kecil mereka.
“Larian ini telah menyatukan kita di dalam satu program kebangsaan di samping memberi pendekatan kepada rakyat Malaysia untuk memainkan peranan dalam memupuk perpaduan dan semangat Negaraku Sehati Sejiwa.” Kata Dato’ Jailani yang turut serta dan berjaya menghabiskan acara larian kategori 5 KM.
“Pada masa yang sama, program ini telah memberikan pendedahan kepada kaum keluarga dan komuniti daripada semua lapisan masyarakat berkenaan gaya hidup sihat serta mesra alam. Larian tersebut sangat menarik dan saya pasti sesiapa yang menyertai pasti akan merasa terkejut dengan keindahan pemandangan sepanjang larian. Iniliah Malaysia yang kita cintai.” kata Dato’ Jailani.
Sejajar dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini “Negaraku Sehati Sejiwa”, orang ramai turut disajikan dengan pelbagai persembahan menarik seperti War Cry, drumline dan bicara berirama. Program turut dimeriahkan dengan kehadiran artis – artis terkenal seperti Khai Bahar, Wakaka Group dan ramai lagi.
“MYNIC sentiasa menggalakkan penggunaan IT di dalam kehidupan seharian dan MERDEKA MYBUDDIES RUN telah berjaya menunjukkan keberkesanan di mana kami telah memperkenalkan nama domain khas sebagai saluran pertanyaan yang memberikan kemudahan kepada anda untuk mengajukan pertanyaan berkenaan program. Antara yang menjadi kesukaan kebanyakan pelari adalah nama domain khas ‘parking.mybuddies.my’ yang memberikan kemudahan petunjuk ke tapak parkir yang telah disediakan. Ia nampak ringkas, akan tetapi sangat berguna.” jelas Datuk Hasnul.
Hasnul turut berkata “Merdeka telah memberikan banyak makna dan sesungguhnya keamanan yang kita kecapai hingga ke saat ini adalah merupakan anugerah yang tidak ternilai buat seluruh rakyat Malaysia. Program ini adalah satu program hebat dan kami pasti akan menganjurkan lagi program seperti ini pada masa akan datang.”
Penyampai radio dan tv, Radin telah mengetuai laungan semangat lagu Negaraku dan pada penghujung program, para pelari turut berpeluang untuk memenangi beberapa siri cabutan bertuah bernilai RM 80,000 termasuk hadiah utama sebuah Perodua Axia serta beberapa hadiah menarik yang lain seperti motorsikal Modenas, basikal Mountain Bike, jam tangan lasak dan macam – macam lagi.