Accessibility & Settings

DEACTIVATE READER VIEW
×

Search For:

Generic selectors
Exact matches only
Search in title
Search in content
Post Type Selectors

Produk Kerusi Roda Tempatan Tembusi Pasaran Antarabangsa

Usahawan OKU gunakan platform premis digital kembangkan perniagaan


CYBERJAYA : Memegang status Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak mematahkan semangat Azarin Razali, 50 tahun untuk terus berusaha dan seterusnya berjaya sebagai usahawan industri kecil sederhana.


Azarin yang berasal dari Klebang, Melaka merupakan pengasas syarikat Good Take Care Trade yang mengeluarkan kerusi roda bermotor pertama di Malaysia. Menggunakan jenama produk ‘Gospeedi’, kerusi roda ini direka dengan gabungan komponen terpilih seperti custer hadapan yang berbeza, rim belakang, sportrim dan jenis tayar untuk menjadikannya lebih praktikal dan bergaya.


“Semuanya bermula pada tahun 2015 apabila saya disahkan mengidap penyakit radang saraf tunjang yang mengakibatkan saya lumpuh. Berkerusi roda secara tiba-tiba adalah cabaran hidup yang menakutkan tetapi dengan sokongan kuat dan suntikan motivasi daripada keluarga dan rakan-rakan, saya berjaya menempuhinya,” ujar Azarin.


“Saya perlu terus positif untuk meneruskan kehidupan. Saya mula berfikir cara yang lebih dinamik dalam mengamalkan cara kehidupan baharu dengan berkerusi roda. Sebagai seorang yang aktif berbasikal dan bermotor sebelum ini, semestinya gaya hidup begitu yang saya ingin teruskan.”


“Berbekalkan minat terhadap permotoran, saya telah mendapat idea untuk gabungkan kerusi roda dan enjin bermotor agar ianya lebih mudah dan pantas untuk saya bergerak. Niat saya apabila menceburi bidang perniagaan ini adalah untuk membantu orang yang mempunyai nasib seperti saya. Sekitar akhir tahun 2016, saya mula mempromosi Gospeedi di dalam sosial media dan al hamdulillah ianya mendapat sambutan,” katanya lagi.


Berbekalkan modal sebanyak RM8,000, Azarin berjaya menjual 3 buah kerusi roda berenjin ini kepada pelanggan beliau melalui aplikasi Facebook.


“Saya bersama isteri pergi ke Kelantan dan Terengganu sendiri untuk menghantar kerusi roda tersebut. Selain dapat mengenali pelanggan dengan lebih dekat, saya juga dapat mengajar mereka cara pemasangan Gospeedi,” kata Azarin.

Premis digital kembangkan perniagaan


Menyedari kepentingan teknologi terhadap kemajuan perniagaan, Azarin mula belajar selok belok dalam mempelajari konsep perniagaan e-dagang.


“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan bermula, saya mula memahami bagaimana perniagaan akan lebih berkembang maju jika kita melangkapkan ekosistem e-dagang. Ini termasuk perniagaan melalui media sosial, E-market place, enjin carian dan premis digital.”


“Alhamdulillah dengan bantuan latihan insentif daripada MYNIC Berhad, saya mula mempelajari cara membuat laman web serta cara mempromosi produk secara digital. Mempunyai laman web perniagaan sendiri memang cita-cita saya sejak mula melakukan perniagaan kerana saya yakin ianya merupakan satu platform untuk menembusi pasaran antarabangsa,” tambah Azarin lagi.
“Tanggal 7 Jun 2021, laman web www.wheelchair2u.my telah dilancarkan dan kalau hendak dibandingkan pendapatan bulanan saya meningkat lebih 50% dengan premis digital ini.”


Gospeedi tembusi pasaran antarabangsa


Setelah hampir dua tahun mempunyai laman sesawang sendiri, produk Gospeedi telah berjaya mendapat tempahan pelanggan antarabangsa.


“Premis digital memberikan impak yang besar kepada perniagaan saya. Alhamdulillah pada tahun lepas, saya mendapat tempahan dari pelanggan yang berada di Singapura, Australia dan juga Rusia. Ini membuatkan saya terus bersemangat dan yakin untuk mencapai sasaran perniagaan saya.”


Azarin juga menyatakan, “Ini berikutan perancangan syarikat yang akan secara agresif menerokai bidang pemasaran offline dan atas talian pada tahun ini, insya Allah.”


Sehingga kini, Gospeedi berjaya di jual sebanyak 120 buah di mana peningkatan paling ketara dapat dilihat menerusi penjualan atas talian ataupun premis digital.


Azarin Razali juga berharap agar lebih banyak lagi inisiatif yang berkaitan digital dapat diberikan golongan OKU untuk perkembangan serta pembangunan sosioekonomi golongan istimewa ini.


Inisiatif OKU MYNIC teras pembangunan premis digital


Sementara itu, YBhg. Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pengawai Eksekutif MYNIC Berhad berkata MYNIC amat komited dalam membimbing golongan OKU untuk berjaya menguasai perniagaan melalui premis digital.


Datuk Hasnul berkata, “Inisiatif OKU MYNIC telah mula diperkenalkan pada tahun Februari 2020, dan setakat ini kami telah melatih lebih 300 usahawan OKU antaranya adalah wheelchair2u.my dan juga daperage.my.”


“Daripada 300 usahawan OKU yang dilatih yang pada mulanya hanya memperolehi pendapatan di bawah RM1,000, kini lebih 70% daripada mereka berjaya memperolehi pendapatan lebih RM1,000 sebulan. Malah hampir 20% berjaya menjana pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.”


“Antara objektif inisiatif ini adalah untuk membantu serta mempercepatkan adaptasi digital di kalangan rakyat, khususnya golongan OKU dalam menyokong dan membawa perniagaan mereka dari luar talian ke dalam talian. Usaha ini juga dapat memastikan agar tiada golongan yang tertinggal dalam perjalanan digitalisasi negara,” ujar Datuk Hasnul.


“MYNIC menawarkan diskaun khas sebanyak 50% seumur hidup kepada semua golongan OKU yang mendaftar melalui inisiatif ini. Insya Allah kami terus menyokong aspirasi serta hasrat kerajaan perpaduan untuk terus memajukan literasi digital negara.”


Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, MYNIC yang bertanggungjawab membangun serta mengurus nama domain .MY menyatakan inisiatif OKU ini merupakan salah satu teras kepada golongan ini untuk mengembagkan lagi perniagaan digital mereka.
“Nama domain .MY merupakan salah satu aset digital negara. Ianya berpotensi untuk dieksport serta menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan dan ekonomi, bukan sahaja kepada individu malah kepada negara,” akhiri Datuk Hasnul.


MYNIC juga berharap masyarakat sedar akan kepentingan dan manfaat mempunyai laman sesawang yang bercirikan aksesibiliti serta mempunyai banyak kelebihan. Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang MYNIC iaitu mynic.my/okubenefits untuk maklumat lanjut.


TAMAT


Untuk makluman lanjut, sila hubungi:
Mohd Zulhelmy Ismail
Jabatan Pemasaran dan Komunikasi
MYNIC Berhad
No telefon: 019-8071488
Emel: zulhelmy@mync.my


Gambar:

Azarin Razali bersama YB Ahmad Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital; YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital; Dr. Mohamed Awang Lah, Pengerusi MYNIC Berhad dan Datuk Ts. Hasnul Fadhly Abdul Hasan Ketika sesi bersama YB Menteri dan Timbalan Menteri di MYNIC baru-baru ini.
Azarin bersama Razak dan keluarga untuk mencuba kerusi roda yang sesuai untuk permainan Boccia. Razak merupakan atlit baru yg diserapkan dalam Team Boccia Para Negara.

Azarin aktif dalam mempromosi Gospeedi melalui luar talian ke dalam talian


You may also be interested in: